AKTA PENDIDIKAN 1996
PERATURAN-PERATURAN PENDIDIKAN
(PERSATUAN IBU BAPA & GURU) 1998
[Sub peraturan 7(2)]
PERLEMBAGAAN PERSATUAN IBU BAPA-GURU (PIBG)
SEKOLAH :
Nama dan Alamat
1. Persatuan ini dikenal dengan nama: Persatuan Ibu Bapa – Guru Sekolah ……… ………………………………………………..
2. Alamat yang didaftarkan bagi Persatuan ini ialah:
………………………………………………..
………………………………………………..
………………………………………………..
………………………………………………..
Tujuan-tujuan Persatuan
3. Tujuan-tujuan Persatuan ialah:
a) untuk
mengadakan sesuatu forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan
murid-murid dalam Sekolah dalam meningkatkan imej Sekolah;
b) untuk membantu dan menambah usaha Sekolah dalam memenuhi kehendak dan keperluan kebendaan murid-murid dalam kegiatan mereka;
c) untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam Sekolah bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai pendidikan;
d) untuk
memberi peluang kepada ibu bapa dan guru dalam sekolah berunding antara
satu sama lain dengan cara memperbaiki taraf pendidikan anak-anak
mereka pada amnya; dan
e) untuk
membolehkan ibu bapa dan guru dalam Sekolah untuk berusaha menambah
kewangan Sekolah dan meningkatkan kemudahan fizikal bagi tujuan
meningkatkan kemudahan pengajaran dan Pembelajaran
Fungsi Persatuan
4. Fungsi
Persatuan ialah untuk menjalankan aktiviti atau program bagi mencapai
tujuan-tujuan persatuan yang dinyatakan di perenggan 3, seperti:
a) membantu dalam memajukan perkembangan murid dan menjaga kebajikan murid;
b) menambah sumber kewangan Sekolah bagi menambah dan meningkatkan kemudahan di Sekolah;
c) meningkatkan kemesraan dan menyediakan saluran komunikasi dan hubungan antara Sekolah dengan masyarakat setempat;
d) meningkatkan
kecerian premis Sekolah supya dapat mewujudkan suasana yang kondusif
bagi menjayakan aktiviti dan program Pendidikan
Keanggotaan Persatuan
5. Anggota Persatuan terdiri daripada:
a) semua guru di Sekolah;
b) ibu bapa kepada murid yang belajar dalam Sekolah; dan
c) warganegara
Malaysia yang diluluskan permohonan untuk menjadi anggota Persatuan
oleh Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian atau
Pendaftar, mengikut mana yang berkenaan (seperti di Lampiran A); dan
6. Guru Besar atau Pengetua Sekolah hendaklah menjadi ex-officio dan Penasihat Persatuan.
Jawatankuasa Persatuan
7. Persatuan
hendaklah diuruskan oleh suatu jawatankuasa yang dikenali sebagai
“Jawatankuasa PIBG”. Jawatankuasa PIBG hendaklah dilantik oleh anggota
Persatuan pada setiap Mesyuarat Agung Tahunan.
8. Anggota Jawatankuasa PIBG hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia sahaja.
9 Keanggotaan Jawatankuasa PIBG adalah seperti berikut:
a) seorang Yang Di-Pertua;
b) seorang Naib Yang Di-Pertua;
c) seorang Setiausaha;
d) seorang Bendahari; dan
e) 8 orang Ahli Jawatankuasa
10. Bilangan ibu bapa dan guru yang menganggotai Jawatankuasa PIBG hendaklah, seboleh-bolehnya, seimbang
11. Guru Besar atau Pengetua tidak boleh menganggotai Jawatankuasa PIBG dan hanya bertindak sebagai Penasihat Persatuan.
12. Bilangan Ahli Jawatankuasa PIBG di perenggan 9(e) hendaklah antara 1 hingga 11 orang.
13. Bilangan
anggota Jawatankuasa PIBG di kalangan anggota Persatuan (bukan anggota
guru di sekolah tersebut) yang tidak mempunyai anak di sekolah itu
hendaklah tidak melebihi 1/5 daripada keseluruhan bilangan anggota
Jawatankuasa PIBG berkenaan.
14. Tertakluk
kepada perenggan 13 Perlembagaan ini dan subperaturan 6(4) hingga (6)
Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa – Guru) 1998, Pegawai
Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian (mengikut mana yang
berkenaan) boleh melantik tidak lebih daripada 2 orang yang bukan
anggota Persatuan untuk menjadi anggota Jawatankuasa PIBG setelah
mendapat kelulusan bertulis Pendaftar.
15. Tempoh
memegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG adalah bermula dari tarikh
pelantikan sehingga tarikh Mesyuarat Agung Tahunan pada tahun berikutnya
atau sehingga suatu tempoh yang diluluskan oleh pendaftar.
16. Jika
berlaku kekosongan jawatan dalam Jawatankuasa PIBG, Yang Di Pertua
hendaklah melantik mana-mana anggota biasa Persatuan, berdasarkan undian
terbanyak di kalangan anggota Jawatankuasa PIBG, untuk mengisi
kekosongan jawatan itu.
17. Jawatankuasa
PIBG hendaklah mengedarkan kepada anggota Persatuan senarai nama dan
alamat pemegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG pada setiap tahun
selewat-lewatnya 14 hari selepas tarikh Mesyuarat Agung Tahunan.
Fungsi Jawatankuasa PIBG
18. Fungsi
Jawatankuasa PIBG ialah mengelola dan mengatur kegiatan Persatuan dan
membuat keputusan atas perkara-perkara yang menyentuh perjalanan
Persatuan, tanpa bercanggah dengan dasar umum yang ditetapkan oleh
Mesyuarat Agung Tahunan, Perlembagaan ini dan Akta Pendidikan 1996 serta
peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya.
a) Yang Di-Pertua
i) Menjadi
Pengerusi dalam semua mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Mesyuarat Agung
Tahunan dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan mesyuarat.
ii) Mempunyai undi pemutus dan hendaklah menandatangani minit-minit mesyuarat apabila telah diluluskan.
iii) Bertanggungjawab
mengawasi pentadbiran Persatuan serta memastikan bahawa peruntukan
Perlembagaan dipatuhi oleh semua anggota Persatuan.
iv) Sentiasa mematuhi segala peruntukan Perlembagaan dalam menjalankan tugas sebagai Yang Di-Pertua.
v) Boleh
memanggil mesyuarat Jawatankuasa PIBG pada bila-bila masa yang
difikirkan perlu dengan persetujuan Guru Besar atau Pengetua.
vi) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran wang Persatuan.
vii) Memastikan segala aktiviti dan program Persatuan dilaksanakan dengan sempurna dan teratur.
viii) Mendapatkan
nasihat mengenai pengurusan Persatuan dari semasa ke semasa daripada
Guru Besar atau Pengetua selaku Penasihat Persatuan.
b) Naib Yang Di-Pertua
i) Bertanggungjawab membantu Yang Di-Pertua dalam menjalankan fungsi-fungsi Yang Di-Pertua.
ii) Menjalankan tanggungjawab dan fungsi Yang Di-Pertua semasa ketiadaan Yang Di-Pertua.
c) Setiausaha
i) Menjalankan urusan Persatuan mengikut Perlembagaan Persatuan.
ii) Melaksanakan keputusan-keputusan Mesyuarat Agung Tahunan dan mesyuarat Jawatankuasa PIBG.
iii) Mencatat, menyedia dan menyimpan minit-minit mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Mesyuarat Agung Tahunan.
iv) Menyediakan laporan-laporan untuk dibentangkan kepada Mesyuarat Agung Tahunan serta minit-minit yang bersangkutan dengannya.
v) Menghantar
segala laporan dan aktiviti Persatuan dan minit Mesyuarat Agung Tahunan
kepada Pendaftar atau Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan
Bahagian, mengikut mana yang berkenaan, selepas Mesyuarat Agung
Tahunan.
vi) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran wang Persatuan, jika perlu.
d) Bendahari
i) Bertanggungjawab
mengurus dan mengawal hal ehwal kewangan Persatuan dengan menyediakan
dan menyimpan kira- kira kewangan yang kemas kini. Penyata kira-kira
kewangan (1 Januari hingga 31 Disember) hendaklah disiapkan sebelum 1
Februari tahun berikutnya untuk diaudit. Penyata kira-kira yang telah
diaudit hendaklah dikemukakan untuk kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan.
Satu salinan penyata yang telah diaudit dan diluluskan oleh Mesyuarat
Agung Tahunan hendaklah dihantar kepada Pendaftar selepas Mesyuarat
berkenaan.
ii) Menguruskan perbelanjaan wang Persatuan seperti yang diputuskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan atau mesyuarat Jawatankuasa PIBG.
iii) Menyimpan wang tunai tidak melebihi sesuatu jumlah yang ditetapkan dalam Perlembagaan pada sesuatu masa.
iv) Menerima
bagi pihak Persatuan semua derma atau sumbangan daripada mana-mana
anggota atau lain-lain sumber dan mengeluarkan resit akaun terima dan
kreditkan ke dalam akaun Persatuan pada hari yang sama.
v) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran wang Persatuan.
vi) Memastikan tiada berlaku terlebih pengeluaran wang dari akaun Persatuan dan akaun sentiasa berbaki kredit.
Lain-lain jawatan
19. Penasihat Persatuan
a) Guru Besar atau Pengetua Sekolah
adalah
anggota ex-officio Persatuan dan bertindak sebagai penasihat kepada
Jawatankuasa PIBG dan Persatuan. Antara tanggungjawab dan fungsi Guru
Besar atau Pengetua adalah seperti berikut;
i) menghadiri mesyuarat Jawatankuasa PIBG, Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Tergempar, tetapi tidak boleh mengundi;
ii) mewakili
pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia
bagi mengawal dan menasihati Persatuan supaya segala aktiviti, kegiatan
dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat-mesyuarat Persatuan tidak
bercanggah dengan kepentingan perkhidmatan, dasar-dasar negara dan
dasar-dasar mengenai pelajaran dan pendidikan serta hal-hal berkaitan
dengan pentadbiran sekolah;
iii) berhak untuk menghenti dan menangguhkan mesyuarat Persatuan jika difikirkan wajar untuk kepentingan anggota Persatuan;
iv) meluluskan semua agenda mesyuarat dan perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Persatuan;
v) memberi
penjelasan kepada sesuatu isu mengenai pengurusan dan perjalanan
Sekolah dan akademik serta isu-isu yang berkaitan dengannya dalam
mesyuarat persatuan;
vi) memastikan kegiatan persatuan selaras dengan tujuan dan fungsi Persatuan;
vii) memastikan
sumbangan Persatuan yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan tidak
membebankan dan tidak mengandungi sebarang unsur paksaan; dan
viii) menentukan tetamu kehormat dan para jemputan yang menghadiri majlis anjuran Persatuan dilayan mengikut peraturan dan protokol yang ditetapkan oleh Kementerian.
viii) menentukan tetamu kehormat dan para jemputan yang menghadiri majlis anjuran Persatuan dilayan mengikut peraturan dan protokol yang ditetapkan oleh Kementerian.
b) Juru Audit Dalaman
i) Persatuan
hendaklah melantik 2 orang juru audit dalaman dari kalangan anggota
Persatuan yang tidak menjadi anggota Jawatankuasa PIBG pada mesyuarat
Agung Tahunan.
ii) Tanggungjawab juru audit dalaman adalah seperti berikut:
aa) mengaudit akaun Persatuan pada setiap akhir tahun kewangan; dan
ab) menjalankan pengauditan secara berkala seperti mana yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
Tempat bermesyuarat (jika berlainan dari alamat berdaftar)
20. Mesyuarat Persatuan dan Mesyuarat Agung Tahunan diadakan di
Kuorum
21. Kuorum mesyuarat yang diadakan oleh Persatuan adalah seperti berikut:
a) Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah tidak kurang daripada 3 kali jumlah bilangan anggota Jawatankuasa PIBG; dan
b) Mesyuarat Jawatankuasa PIBG – hendaklah tidak kurang 2/3 daripada jumlah bilangan anggota Jawatankuasa PIBG.
Mesyuarat Agung Tahunan
22. Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah pada setiap tahun sebelum akhir bulan Mac.
23. Jika
Mesyuarat Agung Tahunan tidak diadakan sebelum akhir bulan Mac,
Jawatankuasa PIBG hendaklah mengemukakan alasan dan tarikh yang
dicadangkan kepada Pendaftar, melalui Guru Besar atau Pengetua, sebelum
31 Mac.
24. Notis
tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan hendaklah diberikan kepada
anggota Persatuan selewat-lewatnya 14 hari sebelum tarikh Mesyuarat.
25. Sekiranya
kuorum untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan tidak mencukupi dalam
tempoh 1 jam dari masa yang ditetapkan, Mesyuarat tersebut hendaklah
dibatalkan dan Jawatankuasa PIBG hendaklah mengeluarkan notis bertulis
kepada anggota Persatuan memaklumkan tarikh baru Mesyuarat Agung Tahunan
dalam masa 30 hari dari tarikh asal tersebut.
26. Agenda Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut;
a) ucapan Pengerusi;
b) membentang dan menerima Minit Mesyuarat Agung Tahunan yang lalu;
c) membentang dan menerima Laporan Tahunan;
d) membentang, menerima dan meluluskan Penyata Kewangan berakhir 31 Disember tahun sebelumnya;
e) membahaskan usul, jika ada;
f) pemilihan Jawatankuasa PIBG bagi tahun berkenaan;
g) pemilihan Juru Audit Dalaman;
h) ucapan penangguhan; dan
i) lain-lain hal.
27. Apa-apa
usul bertulis hendaklah disampaikan kepada Jawatankuasa PIBG
selewat-lewatnya 7 hari sebelum tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.
Jawatankuasa PIBG diberi kuasa untuk menapis usul-usul yang dikemukakan
sebelum diluluskan untuk perbincangan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
28. Mesyuarat
Agung Tahunan bertanggungjawab memilih pemegang-pemegang jawatan dalam
Jawatankuasa PIBG serta menimbang lain-lain perkara yang menyentuh
kemajuan dan kebajikan Persatuan. Pemilihan pemegang jawatan hendaklah
dibuat seperti berikut:
a) anggota yang dicalonkan untuk memegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG hendaklah hadir dalam Mesyuarat;
b) setiap pencalonan hendaklah mempunyai pencadang dan penyokong; dan
c) pemilihan
hendaklah dijalankan secara undian bagi jawatan yang ditandingi. Calon
yang mendapat undi terbanyak dipilih menjawat jawatan yang
dipertandingkan.
Mesyuarat Agung Tergempar
29. Mesyuarat Agung Tergempar boleh diadakan dalam keadaan-keadaan berikut:
a) apabila difikirkan perlu oleh Jawatankuasa PIBG;
b) atas permintaan bertulis sekurang-kurangnya 1/5 daripada jumlah anggota Persatuan; atau
c) atas arahan Pendaftar.
30. Mesyuarat
Agung Tergempar hendaklah diadakan dalam tempoh 21 hari daripada tarikh
keputusan Jawatankuasa PIBG atau tarikh penerimaan permintaan anggota
Persatuan atau tarikh arahan Pendaftar, mengikut mana yang berkenaan.
Notis bertulis mengenai Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dikemukakan
kepada anggota Persatuan selewat-lewatnya 7 hari dari tarikh Mesyuarat
hendak diadakan.
31. Urusan Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dihadkan kepada tujuan Mesyuarat itu diadakan.
Laporan Mesyuarat
32. Laporan
Mesyuarat Agung Tahunan bersama-sama Penyata Kira-kira Kewangan
Persatuan hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai Pejabat
Pendidikan Daerah atau Pegawai Pejabat Pendidikan Bahagian, mengikut
mana yang berkenaan, dalam tempoh 30 hari selepas tarikh Mesyuarat.
33. Laporan
Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan
Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pejabat Pendidikan Bahagian,
mengikut mana yang berkenaan, dalam tempoh 30 hari selepas tarikh
Mesyuarat.
Mesyuarat Jawatankuasa PIBG
34. Jawatankuasa PIBG hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya 3 kali dalam tempoh satu tahun persekolahan.
35. Notis panggilan mesyuarat hendaklah diberikan kepada anggota Jawatankuasa PIBG selewat-lewatnya 7 hari sebelum tarikh Mesyuarat.
36. Yang
Di-Pertua, atau sekurang-kurangnya 3 orang anggota Jawatankuasa PIBG,
boleh memanggil mesyuarat Jawatankuasa PIBG apabila difikirkan perlu
dengan persetujuan Penasihat.
37. Setiap
anggota Jawatankuasa PIBG yang tidak hadir mesyuarat sebanyak 2 kali
tanpa sebab hendaklah digugurkan keanggotaan dalam jawatankuasa PIBG
secara automatik dan Yang Di-Pertua hendaklah mengemukakan notis
bertulis kepada anggota berkenaan sebaik sahaja keputusan itu dibuat.
Punca-Punca Pendapatan Persatuan
38. Punca-punca pendapatan Persatuan adalah terdiri daripada;
a) sumbangan anggota Persatuan (anggota Persatuan tidak boleh dipaksa memberi apa-apa sumbangan);
b) derma dan sumbangan daripada individu, organisasi dan badan-badan lain;
c) pendapatan yang diperolehi daripada aktiviti dan program unjuran Persatuan yang telah mendapat kelulusan Pendaftar
39. Jawatankuasa hendaklah membuka satu akaun di mana-mana bank tempatan yang berdaftar atas nama Persatuan.
40. Apa-apa
wang yang diterima atau diperolehi oleh Persatuan hendaklah dikreditkan
ke dalam akaun Persatuan pada hari wang diterima atau diperolehi. Walau
apa pun peruntukan ini, Bendahari boleh menyimpan wang tunai yang tidak
melebihi ………………. pada satu-satu masa.
Perbelanjaan Wang Persatuan
41. Jawatankuasa
PIBG diberi kuasa untuk membelanjakan wang Persatuan bagi
perkara-perkara yang mendatangkan faedah kepada murid-murid Sekolah yang
tidak bercanggah dengan tujuan-tujuan Persatuan.
42. Segala
cek atau kenyataan pengeluaran wang daripada akaun Persatuan hendaklah
ditandatangan oleh Bendahari dan Yang Di-Pertua atau Setiausaha, semasa
ketiadaan Yang Di-Pertua.
43. Bendahari
dan Yang Di-Pertua hendaklah memastikan tiada berlaku terlebih
pengeluaran wang dan akaun Persatuan sentiasa berbaki kredit.
44. Tahun kewangan Persatuan bermula pada 1 Januari hingga 31 Disember tahun semasa.
Penyimpanan akaun pendapatan dan perbelanjaan
45. Penyata
Kira-kira Kewangan Persatuan yang telah diaudit hendaklah dibentangkan
untuk diterima dan diluluskan oleh anggota Persatuan dalam Mesyuarat
Agung Tahunan.
46. Satu
salinan Penyata Kira-kira Kewangan yang telah diaudit serta diterima
dan diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah dihantar kepada
Pendaftar dan Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian
mengikut mana-mana yang berkenaan.
47.
Pendaftar, Pegawai Pendidikan Daerah, Pegawai Pendidikan Bahagian,
Pengetua atau Guru Besar adalah dibenarkan memeriksa akaun Persatuan
pada bila-bila masa.
Harta Amanah Persatuan
48. Persatuan
tidak boleh memegang apa-apa harta, sama ada harta alih atau harta tak
alih, atas namanya sendiri. Apa-apa harta yang, sebelum dari tarikh
Perlembagaan ini berkuat kuasa, diletakkan atas nama Persatuan hendaklah
dialihkan kepada Kerajaan Malaysia, yang diwakili oleh Sekolah, sebagai
harta yang diamanahkan oleh Persatuan untuk digunakan bagi faedah
murid-murid Sekolah itu sahaja atau sebagaimana yang ditetapkan oleh
Jawatankuasa PIBG dari masa ke semasa.
49. Apa-apa
harta yang diamanahkan kepada Sekolah tidak boleh dipindah milik atau
dilupuskan dengan apa cara sekali pun, melainkan dengan persetujuan
anggota Persatuan yang diperolehi dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
Pindaan Perlembagaan Persatuan
50. Apa-apa
cadangan untuk meminda Perlembagaan Persatuan hendaklah dikemukakan
kepada Pendaftar, melalui Guru Besar atau Pengetua, untuk kelulusan
terlebih dahulu.
51. Cadangan
pindaan yang hendak dikemukakan kepada Pendaftar hendaklah dibentangkan
dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan dipersetujui oleh sekurang-kurangnya
2/3 daripada anggota Persatuan yang hadir.
52. Pindaan kepada Perlembagaan hanya berkuat kuasa mulai daripada pindaan diluluskan oleh Pendaftar.
53. Pendaftar berhak meluluskan atau tidak sebarang pindaan yang dicadangkan oleh Persatuan.
Larangan
54. Persatuan
tidak boleh memperluaskan bidang kuasanya untuk merangkumi
perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan
sekolah, guru, kakitangan dan pekerja Sekolah dan syarat-syarat
perkhidmatan guru dan kakitangan Sekolah.
55. Persatuan
bukanlah suatu entiti undang-undang dan tidak mempunyai keupayaan
juridikal untuk membuat kontrak, perjanjian atau memorandum
persefahaman, atas namanya sendiri. Apa-apa program dan aktiviti yang
hendak dibuat oleh Persatuan yang memerlukan apa-apa suratcara yang
mengikat dari segi undang-undang hendaklah dirujuk kepada Pendaftar,
melalui Guru Besar atau Pengetua, untuk kelulusan dan panduan.
56. Persatuan
tidak boleh menjadi forum atau jentera bagi menyelesaikan sebarang
pertikaian antara Persatuan dengan Guru Besar atau Pengetua, Pejabat
Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Bahagian, Jabatan Pendidikan
Negeri, Kementerian Pendidikan, Kerajaan Negeri atau Kerajaan
Persekutuan.
57. Persatuan
tidak boleh bergabung dengan persatuan ibu bapa-guru di sekolah-
sekolah lain, parti politik, kesatuan sekerja, pertubuhan bukan kerajaan
atau lain-lain organisasi, pertubuhan atau persatuan, sama ada yang
ditubuhkan atau berdaftar di bawah mana-mana undang-undang bertulis atau
tidak.
Tafsiran
58. Sebarang
kekeliruan atau pertikaian yang timbul daripada Perlembagaan ini
hendaklah dirujuk kepada Pendaftar melalui Guru Besar atau Pengetua.
Pembubaran
59. Persatuan hanya boleh dibubarkan dalam keadaan berikut:
a) atas arahan bertulis daripada Pendaftar; atau
b) Sekolah berhenti beroperasi
60. Apa-apa
wang dalam akaun Persatuan hendaklah digunakan sebagaimana yang
ditetapkan oleh Pendaftar dan kegunaannya hendaklah bagi memanfaatkan
pendidikan kanak-kanak di kawasan di mana Sekolah itu berada. Apa-apa
harta alih dan tak alih yang telah diamanahkan kepada Sekolah hendaklah
dilupuskan mengikut cara yang ditetapkan oleh Pendaftar.
0 comments:
Post a Comment